Saturday, January 2, 2010

Jika Benar Cinta Datangilah Dengan Cara Halal...

Jika benar perasaan itu datang iringilah ia di jalan keredhaaan. Ini cuma jalanan titian kehidupan. Jangan sesekali dicemar. Perasaan itu suci, fitrah, dan mampu membawa ke jalan keredhaan. Kasih sayang adalah bukti kekuasaan Allah. Dilampirkan kasih sayang agar dapat singgah di hati yang bersih lalu mewariskan ketaatan yang tiada tara. Kasih sayang adalah turunan Asma Allah.
Jika tidak ingin menanggung risiko janganlah dimulakan. Janganlah memaniskan mulut dengan seribu janji. Kerana perempuan itu sensitif, hatinya halus, dan lemah. Mengharap bimbingan daripada kaum pemimpin. Agar ditunjukkan jalan lantaran emosi yang lebih menguasai. Mereka lemah dan tidak mampu berbuat apa-apa jika ada yang cuba menodai. Hanya mampu mengharap pelindung dengan hadirnya rijal. Rijal yang halal bukan rijal yang mengundang kebahayaan. Bukan rijal yang menghiasi kalimah agama di bibir semata tetapi rijal yang mampu menuntun jiwa halus ini dan bersama mengharung titian kehidupan yang penuh tipu noda. Kerana dengan keluhuran jiwa sang rijal akan lahirlah warisanbaru. Warisan yang mencintai kebenaran.
Jangan dicemari wanita mukminah. Sekalipun dia bertudung litup. Cuba seteguh mungkin menjaga diri dalam kancah pergaulan. Namun dia tetap perempuan. Perempuan yang mempunyai hati dan berhak untuk sayang dan menyayangi. Adalah satu kepayahan bagi seseorang mukminah itu untuk menentang fitrah yang sudah mula melampirkan kenyataan.

Wahai para mukmin.. selamatkanlah wanita. Jangan dicemari mereka. Jangan meletak janji jika tidak ingin menepati. Jangan menabur harapan jika lemah untuk menghadapi.